Bagaimana Shopee Refund Duit Anda?
Asas Jual Beli di Shopee
Berbalik kepada asas penjualan dan pembelian di platform Shopee, boleh dikatakan sangat menyebelahi kepada pembeli berbanding pihak penjual. Ini kerana apabila pembeli membuat pesanan dan pembayaran, duit tersebut akan dipegang oleh pihak Shopee terlebih dahulu. Duit tersebut hanya akan diberikan kepada pihak seller setelah pesanan tersebut lengkap sahaja, iaitu setelah pembeli menekan butang pesanan diterima, ataupun setelah 3 hari selepas penerima menerima barang tersebut.
Oleh itu, apabila berdepan dengan situasi seperti pembatalan pesanan yang dilakukan oleh pihak penjual, duit tersebut sudah semestinya akan dipulangkan oleh pihak Shopee sendiri dan bukannya pihak penjual. Namun perlu ambil perhatian disini kerana kaedah pemulangan agak unik, kerana Shopee sangat mengutamakan ShopeePay sebagai kaedah pembayaran utama. Hal ini kerana, Shopee ingin menggalakkan penggunaan ShopeePay dalam kalangan pengguna platform mereka.
Mari kita lihat satu persatu bagaimana proses pemulangan wang tersebut akan dilakukan bagi setiap kaedah pembayaran yang dilakukan oleh pembeli ketika membuat pesanan yang telah dibatalkan tersebut.
Kad Debit / Kad Kredit
Pembayaran akan dikreditkan semula ke atas kad yang digunakan dalam tempoh 7-14 hari bekerja, bergantung kepada pihak pengeluar kad bank tersebut.
ShopeePay / Perbankan Dalam Talian / Pembayaran Tunai di Kedai Runcit
Pembayaran akan dikreditkan ke akaun ShopeePay anda dalam masa 24 jam. Ini bermaksud walaupun pembayaran dilakukan secara online banking atau cash payment, pemulangan wang tersebut akan dikembalikan ke akaun ShopeePay anda, walaupun anda tidak pernah sama sekali mengaktifkan ShopeePay sebelum ini.
Anda akan dimaklumkan melalui pemberitahuan dalam aplikasi dan e-mel sebaik sahaja bayaran balik anda diproses. Pihak Shopee akan beri masa 3 hari untuk pembeli yang ingin mengaktifkan ShopeePay. Jika pembeli tidak mahu mengaktifkan ShopeePay, anda perlu tunggu 3 hari dari tarikh refund dibuat, dan secara automatik Shopee akan refund wang ke bank akaun anda dalam masa satu hingga tiga hari bekerja.
Bagaimana? Sekarang sudah fahamkan dengan proses yang berlaku? Jadi lepas ini jangan risau lagi berkenaan refund proses ini ya. Itu sahaja artikel kali ini.