Review GO+ yang ditawarkan oleh Touch N Go
Artikel dikemaskini pada 22 Julai 2023
Apa itu Go plus oleh Touch N Go?
Go+ merupakan salah satu ciri yang diperkenalkan oleh pihak Touch N Go untuk membenarkan baki dalam akaun Go+ anda mendapat pulangan. Pada awal pelancaran, ciri ini tidak mematuhi kriteria patuh syariah, namun pihak Touch N Go telah mengumumkan Go+ kini adalah patuh syariah, sekaligus menjadikan ianya salah satu alternatif instrumen pelaburan yang boleh digunakan oleh umat Islam di Malaysia.
Jika anda pernah mendengar instrumen pelaburan melalui robo-advisory seperti Wahed Invest, Raiz, Stashaway Simple, Versa Cash-i dan beberapa aplikasi lain yang membenarkan pengguna untuk melabur dengan mudah, ciri G0+ ini juga tidak terkecuali dalam menyediakan kelebihan yang sama kepada pengguna. Perbezaannya, pengguna boleh terus melakukan pelaburan dari aplikasi TNG eWallet itu sendiri. Selain dari Go+, pihak TNG juga telah melancarkan GoInvest yang juga boleh diakses melalui aplikasi tersebut.
Bagaimana Go+ berfungsi?
Secara mudahnya, anda hanya perlu memasukkan tunai sebanyak minimum RM10 ke dalam akaun Go+ anda. Pastikan penambahan tunai dilaksanakan sebelum jam 4 petang bagi menikmati pulangan keesokan harinya. Jika penambahan tunai dilakukan selepas jam 4 petang, anda tidak berpeluang untuk mendapat sebarang pulangan atau tambahan pulangan jika pernah memasukkan tunai sebelum ini pada keesokkan harinya.
Sepanjang pengalaman penggunaan, pulangan tunai akan dikreditkan ke dalam akaun Go+ anda secara harian pada jam 12 tengah malam sehingga 2 pagi.
Kelebihan Go+ ini adalah dari segi liquidity iaitu kemudahcairan aset. Tunai yang dimasukkan ke dalam akaun Go+ anda dapat digunakan secara terus terutamanya apabila tunai di dalam touch n go e-wallet anda tidak mencukupi semasa melakukan transaksi.
Misalnya, anda hanya mempunyai RM5 dalam touch n go e-wallet dan RM50 dalam akaun Go+ anda. Jika anda membeli barangan berharga RM10, RM5 dari touch n go e-wallet anda akan ditolak dan baki RM5 lagi akan ditolak dari akaun Go+ anda.
Hal yang sama juga akan berlaku jika anda menggunakan RFID semasa membayar tol di lebuhraya. Integrasi antara TNG Wallet dan juga Go+ ini sememangnya memudahkan pengguna, kerana pengguna tidak lagi perlu untuk menambah nilai ke dalam akaun touch n go wallet mereka.
Berapakah kadar faedah pulangan (profit rate) yang diperoleh melalui Go+?
Ketika artikel ini dikemaskini, profit rate yang diberikan adalah 3.45% p.a. Kadar pulangan sebegini agak rendah jika dibandingkan dengan aplikasi pesaing seperti Rize, oleh Al Rajhi Bank.
Kekurangan Go+
Salah satu kekurangan utama Go+ adalah simpanan anda tidak dijamin dan dilindungi oleh PIDM, iaitu agensi kerajaan yang ditubuhkan bagi melindungi deposit. Sekiranya berlaku sebarang insiden yang tidak diingini, wang yang disimpan tidak dapat diselamatkan lagi. Selain itu setakat ini, pihak Touch N Go menetapkan had limit simpanan sebanyak RM9500 sahaja dalam akaun Go+.
Kesimpulan
Go+ merupakan pilihan penulis sebelum penulis beralih kepada aplikasi Rize setakat ini. Ini kerana kemudahan untuk transaksi bank, pembelian dan juga pengeluaran segera membenarkan Go+ sebagai tempat untuk simpanan wang kecemasan bagi penulis.
Rize hadir dengan kelebihan yang dimiliki oleh Go+, dan juga mampu mengatasi kekurangan Go+. Rize dijamin oleh PIDM dan juga tiada had limit simpanan. Yang penting, penulis ngin memanfaatkan tempoh promosi, dengan pulangan sebanyak 5% sehingga akhir tahun ini.
Sehingga bertemu lagi.