Wahed Invest Malaysia: Review Setelah Lima Tahun Melabur
Jika anda belum tahu apa itu Wahed Invest, penulis sarankan untuk membaca artikel pengenalan Wahed Invest Malaysia terlebih dahulu sebelum meneruskan pembacaan.
Senangnya Melabur di Wahed Invest Malaysia
Sebenarnya apabila menyebut berkenaan terma melabur ini, ramai yang kecut perut. Selalunya kita membayangkan pelaburan memerlukan jumlah wang yang besar dan selalunya menjadi permainan untuk orang kaya-kaya. Dengan kehadiran Wahed Invest ini sebenarnya memberi peluang untuk orang kebiasaan seperti kita untuk melabur di Pasaran Saham Dalam dan Luar Negara dengan mudah.
Bagaimana caranya untuk melabur di Wahed Invest ni? Dengan permulaan sebanyak seratus ringgit yang dimasukkan secara online banking ke dalam aplikasi Wahed Invest, anda sudah dikira melabur. Ya, anda hanya perlu masukkan duit ke dalam aplikasi, dan pihak Wahed Invest yang akan melaburkan bagi pihak anda mengikut portfolio pelaburan yang anda pilih. Mudah bukan?
Wahed Invest: Pelaburan Jangka Masa Panjang untuk Mencapai Status Bebas Kewangan.
Ini pengalaman penulis setelah menggunakan Wahed Invest sejak November 2019. Tujuan utama penulis melabur di Wahed Invest adalah untuk dijadikan salah satu instrumen pelaburan jangka masa panjang untuk mencapai bebas kewangan.
Definisi bebas kewangan adalah apabila seseorang individu itu tidak lagi bergantung kepada pekerjaan semasa untuk meneruskan kelangsungan hidup. Konsep merdeka wang ini sebenarnya lebih popular di negara barat dengan istilah F.I.R.E iaitu singkatan untuk Financial Independence Retire Early. Untuk mengetahui lanjut berkenaan bebas kewangan, penulis sarankan untuk membaca artikel bertajuk Pernah dengar Gerakan F.I.R.E?.
Melabur setiap bulan di Wahed Invest Malaysia
Sejak November 2019 sehingga kini, penulis melabur sedikit demi sedikit setiap bulan di Wahed Invest. Bermula dengan RM100 setiap bulan hinggalah kini mencecah RM700 sebulan. Kaedah melabur ini lebih dikenali sebagai Dollar Cost Averaging (DCA). Kaedah ini selalunya digunakan bagi mengurangkan risiko kerugian dan juga sesuai untuk pelabur yang mempunyai modal pelaburan yang kecil.
Pemilihan Portfolio di Wahed Invest
Portfolio yang dipilih oleh penulis pada permulaannya adalah portfolio Very Aggressive sebelum bertukar kepada Thematic Portfolio:US Stock.
Untuk portfolio US Stocks, 97.58% wang pelaburan akan dilaburkan ke dalam Global Stocks, manakala lagi 2.42% akan disimpan dalam tunai. Melalui portfolio ini, wang akan dilaburkan dalam Wahed FTSE USA Shariah ETF (HLAL).
Dengan Wahed FTSE USA Shariah ETF (HLAL), pengguna berpeluang untuk melabur dalam 200+ syarikat besar di Amerika Syarikat.
Berikut merupakan 10 stok yang mempunyai pegangan peratus tinggi berdasarkan senarai terkini yang dikeluarkan pada 25 Ogos 2023.
- Apple Inc - 14.08%
- Microsoft Corp - 12.77%
- Alphabet Inc - 4.14%
- Alphabet Inc - 3.64%
- Tesla Inc - 3.34%
- Meta Platforms Inc -3.33%
- Eli Lilly & Co - 2.49%
- Exxon Mobil Corp - 2.31%
- Johnson & Johnson - 2.27%
- Procter And Gamble Co - 1.91%
Ya! Dengan melabur dalam HLAL, pengguna berpeluang untuk mengambil bahagian melabur dalam syarikat gergasi dunia seperti Apple, Microsoft, Alphabet, Tesla dan juga Meta.
Untung di Wahed Invest Malaysia setakat ini
Setakat ini keuntungan yang diperoleh sehingga 1 September 2023 adalah sebanyak 24.62% iaitu, RM2753.82.
Rugi dalam melabur di Wahed Invest Malaysia
Ramai yang membincangkan aspek keuntungan tanpa membincangkan tentang kerugian yang dihadapi dalam sesuatu pelaburan. Tidak seperti menyimpan di ASB dan Tabung Haji, melabur di Wahed Invest membolehkan pengguna terdedah kepada kerugian.
Ini adalah beberapa siri kerugian yang dihadapi oleh penulis semasa membuat pelaburan di Wahed Invest Malaysia.
Bagaimanapun, kerugian yang dihadapi tidak mengganggu perjalanan kewangan penulis. Sebaliknya penulis meneruskan pelaburan dengan memasukkan wang pada setiap bulan seperti biasa tanpa gagal.
Patut atau tidak melabur di Wahed Invest Malaysia.
Ini adalah pendapat penulis supaya proses pelaburan berjalan dengan baik dan menepati sasaran yang dikehendaki.
Elakkan meletakkan wang kecemasan anda di Wahed Invest
Pastikan anda sudah mempunyai tabung kecemasan 3 hingga 6 bulan gaji terlebih dahulu yang disimpan di instrumen risiko rendah seperti di ASB dan Tabung Haji. Ketika artikel ini ditulis, penulis menyarankan untuk membuka akaun Rize MY, untuk dijadikan tabung kecemasan sehingga akhir tahun ini. Elakkan menyimpan wang kecemasan di Wahed Invest. Hal ini kerana proses pengeluaran wang akan memakan masa sehingga 8 hari bekerja sekaligus menyulitkan penggunaan wang tersebut ketika keadaan terdesak.
Memahami risiko sebelum melabur di Wahed Invest
Semasa membuat pelaburan kali pertama di Wahed Invest, pengguna perlu menjawab penilaian risiko dan melalui keputusan penilaian tersebut Wahed Invest akan mencadangkan portfolio yang bersesuaian dengan pengguna. Elakkan memilih portfolio yang lebih berisiko untuk mendapatkan pulangan yang lebih tinggi tanpa menyedari risiko yang bakal dihadapi kelak. Sekiranya anda takut untuk mengalami kerugian, Wahed Invest bukanlah platform yang sesuai untuk melabur. Manakala untuk pelabur jangka masa panjang, beberapa siri kerugian adalah aspek normal yang perlu ditempuh bagi mendapatkan pulangan yang lebih baik pada masa akan datang.
Setakat ini, penulis berpuas hati dengan faedah pulangan pelaburan di Wahed Invest dan akan meneruskan sasaran pelaburan jangka masa panjang di platform tersebut sehingga mencapai sasaran bebas kewangan sebagaimana yang diperkatakan sebelum ini.
Untuk mendapat artikel terkini berkenaan pelaburan cara mudah dan berkonsepkan bebas kewangan, jadilah sebahagian dari Trafik Digital dengan menekan butang Sign Up Now dibawah.
Sehingga bertemu lagi. Terima kasih.